Wednesday 17 October 2012

Larangan Melakukan Kezaliman

Daripada Abu Zar al-Ghifaari r.a, daripada Rasulullah s.a.w berdasarkan apa yang diriwayatkannya daripada Tuhannya yang Maha Mulia lagi Maha Tinggi bahawasanya Ia berfirman :
"Wahai hamba-hamba-Ku! Sesungguhnya Aku mengharamkan ke atas diri-Ku kezaliman dan Aku menjadikan ia dikalangan kamu sebagai perkara yang diharamkan, maka janganlah kamu saling zalim menzalimi di antara satu sama lain.
Wahai hamba-hamba-Ku! Setiap kamu adalah sesat melainkan sesiapa yang Aku berikan kepadanya petunjuk, maka mintalah petunjuk daripada-Ku nescaya akan-Ku berikan petunjuk kepadamu. Wahai hamba-hamba-Ku setiap kamu adalah lapar melainkan sesiapa yang Aku memberikan kepadanya makan, maka mintalah makanan daripada-Ku nescaya akan Ku berikan makanan kepadamu.
Wahai hamba-hamba-Ku ! Setiap kamu adalah bertelanjang kecuali sesiapa yang Aku berikan kepadanya pakaian, maka mintalah pakaian daripada-Ku nescaya akan Ku berikan pakaian kepadamu. Wahai hamba-hamba-KU ! Sesungguhnya kamu melakukan kesalahan di waktu siang dan malam, dan aku mengampuni segala dosa, maka mintalah keampunan daripada-Ku, nescaya akan Ku berikan keampunan kepadamu.
Wahai hamba-hamba-Ku ! Sesungguhnya kamu tidak akan mampu untuk mendatangkan kemudaratan yang boleh menyakiti-Ku. Dan kamu tidak mampu mendatangkan faedah yang boleh memberikan manfaat kepada-Ku. Wahai hamba-hamba-Ku! Sesungguhnya, kalau semua manusia; yang terdahulu dan yang terkemudian daripada kamu, dari kalangan manusia atau jin, kesemua mereka keadaannya sama dengan hati seorang lelaki yang paling bertaqwa di kalangan kamu, kerajaan-Ku tidak akan bertambah sedikit pun di sebabkan perkara tersebut.
Wahai hamba-hamba-Ku ! kiranya semua manusia; yang terdahulu dan yang terkemudian daripada kamu, dari kalangan manusia atau jin, kesemua mereka keadaannya sama dengan hati seorang lelaki yang paling jahat daripada kamu, kerajaan-Ku tidak akan berkurangan sedikitpun disebabkan perkara tersebut.
Wahai hamba-hamba-Ku ! Kiranya semua manusia; yang terdahulu dan yang terkemudian daripada kamu, daripada kalangan manusia dan jin berada pada satu tempat, mereka meminta kepada-Ku, lalu Aku berikan kepada setiap orang akan permintaannya, maka perkara tersebut tidak akan mengurangkan apa yang ada pada-Ku melainkan sepertimana berkurangnya air lautan apabila dimasukkan sebatang jarum kemudian dikeluarkan daripadanya.
Wahai hamba-hamba-Ku! Sesungguhnya ia adalah amalan-amalan kamu yang Aku hitungkan untukmu, kemudian Aku sempurnakan balasan kamu disebabkan amalan-amalan kamu. Maka sesiapa yang mendapat kebaikan maka hendaklah dia memuji Allah dan sesiapa mendapat selain daripada itu, maka janganlah dia mencela kecuali dirinya sendiri."
[ Hadis riwayat Imam Muslim ]


Kandungan Hadis

1.Takrif hadis qudsi
Hadis Qudsi ialah apa yang diriwayatkan oleh Rasulullah s.a.w daripada Allah.Kadang-kadang melalui perantaraan Jibril a.s dan kadang kala melalui wahyu,ilham atau mimpi dan Rasulullah s.a.w bebas menyampaikannya mengikut susunan bahasa yang disukainya.Tidak ada perbezaan di antara hadis qudsi dan hadis nabawi kecuali pada hadis qudsi Rasulullah menyampaikan sanadnya kepada Allah.Oleh sebab itu,kebanyakan hadis ini disandarkan kepada Allah.Sandaran ini mengambil kira bahawa Allahlah yang bercakap melalui hadis qudsi.Kadang-kadang disandarkan kepada Rasulullah kerana bagindalah yang menyampaikannya daripada Tuhannya.

Perbezaan hadis qudsi dengan Quran:

a)Al Quran adalah mukjizat pada lafaz dan maknanya,berlainan dengan hadis qudsi.

b)Sah sembahyang dengan membaca Al Quran,sedangkan hadis qudsi tidak sah sembahyang malah membatalkan sembahyang.

c)Orang yang mengingkari Quran adalah kafir,orang yang mengingkari hadis qudsi adalah fasik.

d)Lafaz dan makna al Quran adalah daripada Allah manakala bagi hadi qudsi,lafaznya adalah daripada Rasulullah dan maknanya daripada Allah.

e)Tidak harus meriwayatkan al Quran dengan makna manakala hadis qudsi harus diriwayatkan dengan makna.

f)Al Quran tidak boleh disentuh melainkan oleh orang-orang yang bersuci dan hadis qudsi tidak disyaratkan suci ketika menyentuhnya.

g)Tidak harus bagi orang yang berjunub membaca al Quran ataupun membawanya dan harus baginya membawa atau membaca hadis qudsi.

h)Sesiapa yang membaca satu huruf daripada al Quran diberi pahala sepuluh kebaikan dan hadis qudsi tiada bagi pembacanya semata.

i)Al Quran tidak sah menjualnya(berdasarkan riwayat Ahmad) ataupun makruh menjualnya(di sisi mazhab Syafi'e)berbeza dengan hadis qudsi,ia tidak ditegah untuk dijual dan tidak juga makruh,mengikut kesepakatan ulama.

0 comments:

Post a Comment