Monday 12 November 2012

Adab Ketika Makan



 

 

ADAB MAKAN DAN MINUM CARA NABI SAW

Dalam makan, ada perkara yang wajib di jaga, dan wujud juga perkara yang sunat di jaga. Perkara yang wajib di jaga adalah, mengelak memakan makanan yang haram, seperti arak, babi, binatang yang tidak disembelih dan sebagainya.

Adapun perkara sunat dijaga ketika makan adalah, makan tersebut dilakukan dengan beradab. Bermakna, apabila makan tidak beradab, ia tidak mendatangkan dosa.

Ada sebilangan manusia, yang makan makanan yang haram, tetapi dalam masa yang sama mereka amat mementingkan adab. Ekoran itu, mereka membaca “bismillah” apabila makan daging babi. Sudah pasti, tindakan ini amat bercanggah dengan konsep Islam.

Ia sama seperti, orang yang mementingkan adab menegur, tetapi dalam masa yang sama, mereka tidak mementingkan usaha melarang daripada berlaku penipuan, melakukan tindakan yang merugikan islam dan sebagainya. Walhal, menipu adalah perkara yang haram, dan menegur adalah perkara yang wajib, tetapi adab menegur adalah perkara yang sunat.

Walaubagaimana pun, di sini, di paparkan beberapa hadis-hadis yang sempat dihimpun berkenaan dengan makan dan minum Nabi SAW. ia adalah seperti berikut;

MULAKAN DENGAN ”BISMILLAH”

Nabi SAW apabila makan dan minum, pasti memulakan dengan menyebut nama Allah. perbuatan itu, bukan sekadar dilakukan oleh baginda SAW sendiri, malahan dipesan agar dilakukan oleh orang lain.

Bahkan, ia merupakan pesanan yang sering dilakukan oleh Rasulullah SAW kepada kanak-kanak, yang menunjukkan ia merupakan didikan Nabi terhadap mereka.

Dalam satu hadis, daripada Umar bin Abi Salamah R.a berkata, “semasa aku kanak-kanak, aku makan di dalam bilik bersama Rasulullah SAW. tanganku melintasi segala piring-piring, lalu disebut oleh Rasulullah SAW;

يا غلام سم الله ، وكل بيمينك ، وكل مما يليك

Maksudnya;
“Wahai kanak-kanak, sebutlah nama Allah dan makanlah dengan tangan kananmu dan makan makanan yang paling hampir denganmu
[1]

Dari hadis ini, kita dapat pelajari beberapa perkara berikut;

Pertama :

Nabi SAW, apabila menegur, baginda SAw akan berfikir kesan disebalik teguran. Justeru, apabila kesilapan itu dilakukan oleh seorang kanak-kanak yang bernama Umar bin Abi Salamah, nabi SAW tidak menggunakan namanya, sebaliknya nabi Muhammad SAW menggunakan panggilan manja.

Dalam bahasa arab, penggunaan kalimah ”ghulam”, ia merujuk kepada panggilan manja kepada kanak-kanak. Panggilan itu, amat diminati di kalangan kanak-kanak arab.

Ekoran itu, panggilan manja itu digunakan oleh Nabi SAW, dalam memberi teguran.

Kedua:

Nabi SAW berpesan agar makan itu dimulakan dengan membaca ”bismillah”. Ia merupakan penentu dalam keberkatan pada makanan itu sendiri.

Disamping itu juga, ketika sedang makan, ada adabnya tersendiri. Antara adab yang ditekankan dalam hadis ini adalah, tidak mengjangkaui tangan ketika mengambil lauk melainkan mengambil yang paling hampir terlebih dahulu.

Tindakan mengambil lauk yang jauh sehingga menjangkaui pinggan dan piring, bukanlah satu perkara yang ditegah oleh syarak. Pun begitu, tindakan digalakan agar tidak dibuat.

1 comments:

  1. TERIMA KASIH USTAZAH ATAS INFO YANG AMAT BERNAS DAN MENARIK UNTUK SAYA KETAHUI,,,

    ReplyDelete